10 September 2009

RENUNGAN BERSAMA

SATU daripada lintasan hati yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia ialah ‘kesedihan’. Jika tidak dapat dikawal dan dipujuk dengan sandaran wahyu, boleh jadi kesedihan itu menjadi punca kehancuran seseorang.
Ketika dunia mengalami krisis ekonomi global, tekanan hidup bukan hanya dirasai golongan miskin bahkan hartawan juga ikut terkena kesan kejatuhan raksasa kapitalis dunia. Orang mukmin tidak kira miskin atau kaya ikut sama merasai tekanan akibat situasi politik dan ekonomi yang membahayakan keselamatan harta serta jiwa mereka.
Tetapi, hanya mereka yang benar-benar teguh imannya boleh memenangi peperangan ini. Mereka yang berpegang dengan semangat reda atas putaran takdir yang berada dalam genggaman kuasa Allah. Mereka sentiasa mengingati pesan Allah yang dititipkan melalui al-Quran supaya orang mukmin reda dan berani menghadapi suratan kehidupan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji; kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.
Yang penting ialah kebijaksanaan kita memanfaatkan kesedihan itu menjadi potensi yang boleh melonjakkan kekuatan karakter mukmin sejati. Bukannya menjadikan kesedihan itu punca segala kehancuran atau pintu masuk syaitan ke dalam hati nurani.
Jika kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginannya ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima keburukan.”
Hati yang sentiasa berdampingan dengan Tuhannya tidak mahu merintih dan mempersoalkan ketentuan Kekasihnya Yang Maha Rahman. Dia berkata: “Beruntungnya aku kerana masih ramai orang yang lebih teruk keadaannya dibandingkan diri dan keluargaku, mesti ada rahsia yang disimpan Allah demi untuk kebaikan agamaku, tidak patut menyalahkan sesiapa kerana itu hanya alat bukan sebab, semua takdir pilihan Allah tiada yang buruk dan jahat, semuanya baik bagi hamba-Nya yang memahami dengan hati yang beriman.”

No comments:

Post a Comment