10 September 2009

Kesan Negatif Kesedihan

Untuk mendapatkan hati sebening mata air firdaus yang memandang segala ujian dengan pandangan iman, selayaknya kita mempelajari bahaya kesedihan dan kesannya dalam keperibadian kita.

Antara kesan negatif kesedihan ialah:

1) Membuat jiwa kurang reda.

Ramai yang memiliki jiwa reda kepada Allah tetapi kadang-kadang kita terlepas pandang masalah surutnya keredaan itu bersamaan dengan jatuhnya ujian ke riba. Tidak banyak, mungkin sedikit saja kalimah yang terlontar mewakili perasaan marah atau sedih. Tetapi justeru kalimah itu menurunkan tahap keredaan kita kepada Allah SWT.
Walaupun tidak hilang sama sekali, sepatutnya kita berhati-hati kerana mungkin dari celah yang sedikit itu syaitan akan mengambil peluang untuk masuk ke sudut hati dan akhirnya menguasai perasaan kita.


Sabda Rasulullah SAW ketika memeluk putera Baginda, Ibrahim yang dijemput Allah ke sisi-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya mata ini menangis, namun kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredai Tuhan kami.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Orang yang ditimpa musibah hendaklah memperhatikan setiap ayat diucapkannya dengan perhatian baik dan kawalan yang rapi. Kadang-kadang lidah tidak dapat ditundukkan. Ia menterjemahkan kesedihan hati dengan kata-kata yang tidak beradab kepada Allah seolah-olah mahu mempersoalkan kenapa Allah berbuat begitu dan begini? Padahal siapalah kita dibandingkan ilmu-Nya yang meliputi seluruh alam. Umpama si bodoh, dungu dan terencat akal yang berhujah di hadapan Yang Maha Alim.

2) Lupa akan nikmat-Nya.

Satu keburukan yang dilakukan seseorang, sering kali menghapus sejuta kebaikannya di mata manusia. Begitu juga seorang hamba yang dilimpahi rahmat dan anugerah tanpa putus dari saat hirupan pertama oksigen ke dalam jantungnya hingga nafas terakhir, tetapi apabila sedikit saja Allah menguji kesabarannya dia pun berpaling.

Dia tidak mahu menerima realiti yang harus dihadapi dengan berani, larut dalam kesedihan tidak berpenghujung sehingga membutakan mata hatinya untuk melihat nikmat Allah yang begitu banyak. Bolehkah kita melafazkan puji-pujian kepada Allah ketika sakit, hilang harta benda, pergi tak kembali orang istimewa, jatuh terjunam nama dan pangkat kita angkara kejahatan manusia? Bolehkah hati sentiasa bersyukur walau apapun yang terjadi dalam hidup ini?

Bukan hanya ganjaran akhirat yang diperoleh tetapi ketenangan hati juga dirasai ketika di dunia menapak jalan kesabaran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila meninggal anak seorang hamba, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya? Mereka menjawab: Benar. Allah berfirman: Apakah yang dikatakan oleh hamba-Ku? Mereka menjawab: Dia memuji-Mu dan mengucapkan istirja’. Allah berfirman: Binalah untuk hamba-Ku ini sebuah rumah di syurga dan beri nama ‘Rumah Pujian’.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

3) Mengeruhkan hubungan sesama insan.

Musuh boleh menjadi punca kesedihan. Setiap manusia mempunyai musuh, tetapi mereka mesti belajar menakluk musuh dengan cara diredai Allah. Mereka dituntut untuk mahir bergaul, bersaing dan berlumba mendapat kejayaan dengan cara bersih dan murni mengikut lunas syariat.

Adakalanya kekalahan menyebabkan kita sedih dan mengguriskan dendam di hati. Al-Fudail bin Iyadh berkata kepada sahabatnya yang mengadu disakiti oleh seseorang: “Maafkanlah dia. Sahabatnya itu menjawab: Hatiku tidak mungkin memaafkan. Al-Fudail berkata: Orang yang pemaaf dapat tidur di atas katilnya dengan tenang sedang orang yang membela diri tiada hentinya berfikir untuk membela dirinya, cara apa yang akan digunakannya dan jalan apa yang harus ditempuhnya, apakah perkataan yang akan dikatakannya untuk mengalahkan hujah orang itu. Sudah tentu ia akan gelisah dan tidak dapat tidur.”

Kesedihan sebegini boleh menimbulkan penyakit hati, bahkan merosak jantung, menaikkan tekanan darah dan memecah ketenangan perasaan. Akhirnya menjejaskan kesihatan zahir dan batin.

Kesedihan juga boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia, pertalian orang tua dan anak menjadi tegang apabila kepala keluarga mengalami kemurungan. Suami dan isteri mesti menampilkan imej bahagia dan lupakan kesedihan ketika berada di hadapan pasangannya supaya kehidupan rumah tangga mereka terpelihara daripada anasir jahat.
Suami isteri yang berpengalaman dalam menjaga komunikasi biasanya cepat mengawal emosi dan menstabilkannya ketika berada bersama pasangannya.


Ingatlah nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ketika peristiwa hijrah: “Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama kita.” Makna daripada ungkapan Rasulullah SAW yang diabadikan dalam al-Quran ini seolah-olah memberi pengajaran kepada kita bahawa orang yang terjejas akibat kesedihan sebenarnya mereka ini jauh dari Allah.

No comments:

Post a Comment