11 September 2009

JANGAN BERSEDIH!

Jangan bersedih! Sesungguhnya rasa sedih sama dengan menentang qadha, dan menyesali sesuatu yang pasti, jauh dari sikap lemah lembut, dan benci terhadap nikmat.

Jangan bersedih! Sesungguhnya rasa sedih itu datangnya dari syaitan dan kesedihan itu adalah rasa putus asa yang menakutkan, kefakiran yang menimpa, putus asa yang berkelanjutan.

Jangan bersedih! Sesungguhnya rasa sedih akan selalu mengganggumu dengan kenangan masa lalu, akan membuatmu khuatir dengan segala kemungkinan di masa yang akan datang, dan akan menyia-nyiakan kesempatan pada hari ini.

10 September 2009

Petua-petua:
1. Berkreatif. Ramai orang mendapati mewarna, melukis dan aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan dengan penuh perasaan boleh menenangkan fikiran. Jadi apa lagi.. Jom lar kita melakukan aktiviti tersebut.. Sekurang-kurangnya, dapat juga kita melupakan kesedihan yang kita hadapi.
2. Baca mengenai peringkat-peringkat dan kesan-kesan kesedihan supaya anda menjadi lebih biasa dengan pengalaman anda sendiri.
3. Perhatikan, bahawa sesetengah orang tidak menunjukkan perasaannya sehinggalah ke suatu waktu yang lama setelah peristiwa kehilangan tersebut.


Amaran-amaran:
Jauhi minuman keras dan dadah. Menyembunyikan emosi boleh membuatkan anda tidak produktif.
Elakkan daripada membuat keputusan yang besar dan penting ketika anda dalam keadaan bersedih.

Langkah-langkah Mengatasi Kesedihan

Bersedih selama setahun atau lebih selepas kehilangan seseorang atau sesuatu yang disayangi adalah perkara biasa. Beri masa kepada diri sendiri, dan dapatkan sokongan yang diperlukan.

Langkah-langkah:
1. Mengadu kepada kawan-kawan dan keluarga. Mereka mungkin tidak memahami apa yang anda sedang lalui, tetapi mereka boleh menawarkan bantuan. Dapatkan sokongan tambahan daripada orang-orang yang berpengalaman dalam menangani kesedihan.
2. Jaga kesihatan anda. Kemungkinan ini merupakan satu perkara terakhir yang anda ingin lakukan, tetapi ia boleh membantu anda menghadapi dan mengatasi kesedihan dengan lebih mudah.
3. Buat temu janji dengan seorang kaunselor atau menyertai satu kumpulan sokongan menerusi e-mel.
4. Berbincang dengan doktor anda mengenai anti-depresi sekiranya anda susah hendak bertindak balas.

RENUNGAN BERSAMA

SATU daripada lintasan hati yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia ialah ‘kesedihan’. Jika tidak dapat dikawal dan dipujuk dengan sandaran wahyu, boleh jadi kesedihan itu menjadi punca kehancuran seseorang.
Ketika dunia mengalami krisis ekonomi global, tekanan hidup bukan hanya dirasai golongan miskin bahkan hartawan juga ikut terkena kesan kejatuhan raksasa kapitalis dunia. Orang mukmin tidak kira miskin atau kaya ikut sama merasai tekanan akibat situasi politik dan ekonomi yang membahayakan keselamatan harta serta jiwa mereka.
Tetapi, hanya mereka yang benar-benar teguh imannya boleh memenangi peperangan ini. Mereka yang berpegang dengan semangat reda atas putaran takdir yang berada dalam genggaman kuasa Allah. Mereka sentiasa mengingati pesan Allah yang dititipkan melalui al-Quran supaya orang mukmin reda dan berani menghadapi suratan kehidupan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji; kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.
Yang penting ialah kebijaksanaan kita memanfaatkan kesedihan itu menjadi potensi yang boleh melonjakkan kekuatan karakter mukmin sejati. Bukannya menjadikan kesedihan itu punca segala kehancuran atau pintu masuk syaitan ke dalam hati nurani.
Jika kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginannya ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima keburukan.”
Hati yang sentiasa berdampingan dengan Tuhannya tidak mahu merintih dan mempersoalkan ketentuan Kekasihnya Yang Maha Rahman. Dia berkata: “Beruntungnya aku kerana masih ramai orang yang lebih teruk keadaannya dibandingkan diri dan keluargaku, mesti ada rahsia yang disimpan Allah demi untuk kebaikan agamaku, tidak patut menyalahkan sesiapa kerana itu hanya alat bukan sebab, semua takdir pilihan Allah tiada yang buruk dan jahat, semuanya baik bagi hamba-Nya yang memahami dengan hati yang beriman.”

Kesan Negatif Kesedihan

Untuk mendapatkan hati sebening mata air firdaus yang memandang segala ujian dengan pandangan iman, selayaknya kita mempelajari bahaya kesedihan dan kesannya dalam keperibadian kita.

Antara kesan negatif kesedihan ialah:

1) Membuat jiwa kurang reda.

Ramai yang memiliki jiwa reda kepada Allah tetapi kadang-kadang kita terlepas pandang masalah surutnya keredaan itu bersamaan dengan jatuhnya ujian ke riba. Tidak banyak, mungkin sedikit saja kalimah yang terlontar mewakili perasaan marah atau sedih. Tetapi justeru kalimah itu menurunkan tahap keredaan kita kepada Allah SWT.
Walaupun tidak hilang sama sekali, sepatutnya kita berhati-hati kerana mungkin dari celah yang sedikit itu syaitan akan mengambil peluang untuk masuk ke sudut hati dan akhirnya menguasai perasaan kita.


Sabda Rasulullah SAW ketika memeluk putera Baginda, Ibrahim yang dijemput Allah ke sisi-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya mata ini menangis, namun kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredai Tuhan kami.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Orang yang ditimpa musibah hendaklah memperhatikan setiap ayat diucapkannya dengan perhatian baik dan kawalan yang rapi. Kadang-kadang lidah tidak dapat ditundukkan. Ia menterjemahkan kesedihan hati dengan kata-kata yang tidak beradab kepada Allah seolah-olah mahu mempersoalkan kenapa Allah berbuat begitu dan begini? Padahal siapalah kita dibandingkan ilmu-Nya yang meliputi seluruh alam. Umpama si bodoh, dungu dan terencat akal yang berhujah di hadapan Yang Maha Alim.

2) Lupa akan nikmat-Nya.

Satu keburukan yang dilakukan seseorang, sering kali menghapus sejuta kebaikannya di mata manusia. Begitu juga seorang hamba yang dilimpahi rahmat dan anugerah tanpa putus dari saat hirupan pertama oksigen ke dalam jantungnya hingga nafas terakhir, tetapi apabila sedikit saja Allah menguji kesabarannya dia pun berpaling.

Dia tidak mahu menerima realiti yang harus dihadapi dengan berani, larut dalam kesedihan tidak berpenghujung sehingga membutakan mata hatinya untuk melihat nikmat Allah yang begitu banyak. Bolehkah kita melafazkan puji-pujian kepada Allah ketika sakit, hilang harta benda, pergi tak kembali orang istimewa, jatuh terjunam nama dan pangkat kita angkara kejahatan manusia? Bolehkah hati sentiasa bersyukur walau apapun yang terjadi dalam hidup ini?

Bukan hanya ganjaran akhirat yang diperoleh tetapi ketenangan hati juga dirasai ketika di dunia menapak jalan kesabaran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila meninggal anak seorang hamba, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya? Mereka menjawab: Benar. Allah berfirman: Apakah yang dikatakan oleh hamba-Ku? Mereka menjawab: Dia memuji-Mu dan mengucapkan istirja’. Allah berfirman: Binalah untuk hamba-Ku ini sebuah rumah di syurga dan beri nama ‘Rumah Pujian’.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

3) Mengeruhkan hubungan sesama insan.

Musuh boleh menjadi punca kesedihan. Setiap manusia mempunyai musuh, tetapi mereka mesti belajar menakluk musuh dengan cara diredai Allah. Mereka dituntut untuk mahir bergaul, bersaing dan berlumba mendapat kejayaan dengan cara bersih dan murni mengikut lunas syariat.

Adakalanya kekalahan menyebabkan kita sedih dan mengguriskan dendam di hati. Al-Fudail bin Iyadh berkata kepada sahabatnya yang mengadu disakiti oleh seseorang: “Maafkanlah dia. Sahabatnya itu menjawab: Hatiku tidak mungkin memaafkan. Al-Fudail berkata: Orang yang pemaaf dapat tidur di atas katilnya dengan tenang sedang orang yang membela diri tiada hentinya berfikir untuk membela dirinya, cara apa yang akan digunakannya dan jalan apa yang harus ditempuhnya, apakah perkataan yang akan dikatakannya untuk mengalahkan hujah orang itu. Sudah tentu ia akan gelisah dan tidak dapat tidur.”

Kesedihan sebegini boleh menimbulkan penyakit hati, bahkan merosak jantung, menaikkan tekanan darah dan memecah ketenangan perasaan. Akhirnya menjejaskan kesihatan zahir dan batin.

Kesedihan juga boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia, pertalian orang tua dan anak menjadi tegang apabila kepala keluarga mengalami kemurungan. Suami dan isteri mesti menampilkan imej bahagia dan lupakan kesedihan ketika berada di hadapan pasangannya supaya kehidupan rumah tangga mereka terpelihara daripada anasir jahat.
Suami isteri yang berpengalaman dalam menjaga komunikasi biasanya cepat mengawal emosi dan menstabilkannya ketika berada bersama pasangannya.


Ingatlah nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ketika peristiwa hijrah: “Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama kita.” Makna daripada ungkapan Rasulullah SAW yang diabadikan dalam al-Quran ini seolah-olah memberi pengajaran kepada kita bahawa orang yang terjejas akibat kesedihan sebenarnya mereka ini jauh dari Allah.

09 September 2009

sedihkah anda...?


apakah perasaan anda ketika ini? gembira? sedih? malu? marah? kecewa? takut? dengki?

jangan biarkan diri anda diselubungi kesedihan.

08 September 2009

Tips Menggembirakan Hati Yang Sengsara, Makan Hati, Sedih dan Kecewa

Sebenarnya terdapat banyak cara nak menghilangkan rasa sengsara, sedih dan kecewa. Tapi keberkesanannya terpulang pada ketahanan mental anda, emosi anda, kesabaran anda.
Di sini terdapat 7 tips asas menggembirakan hati yang sengsara, sedih dan kecewa serta cara untuk berdepan dengan emosi tersebut. Jom kita tengok:

1. Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit.
Bunyinya senang nak dibuat, tapi perlulah diaplikasikan secara berterusan. Mengaku saja anda sering merasa sedih disebabkan banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali kememori silam yang lalu, betul tak? Kita kena cut connection feeling kita dengan emosi yang lalu.
Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua tu, selupa yang mungkin, biar kosong habis! Bulatkan azam untuk memfokus kepada masa depan anda, cita-cita anda, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan juga rakan-rakan.
Anda takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tapi lakukan step by step dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.
2. Buang Sikap Risau.
Ada dua kesan dari sikap risau ni. Pertama ia menarik nasib tak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta. Kedua, memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental. Risau akan membuat anda menjadi selalu menjadi sedih dan kecewa, kekadang takut. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawalnya.
3. Belajar Rajin Bersyukur.
Ucap syukur atas kesemua yang anda ada. Apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana anda masih ada 5 deria yang lengkap, Anda boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur (dan bukannya bangun terus sakit jantung mahpun sudah berada di ALAM KEDUA).
Anda juga ada kawan rapat yang memahami anda dan anda mempunya handphone kesayangan anda. Ucapkanlah syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri anda. Buatlah banyak kali dalam sehari. Insyaallah, kesedihan yang kita alami akan berkurangan sedikit demi sedikit.
4. Belajar Menjadi Pemaaf.
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif (takut, sedih, kecewa. gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tak puas hati, dendam, busuk hati). Seterusnya, meneutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat dan bersarang di minda anda.
Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu. Ataupun anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain terhadap diri anda yang membuat anda sedih, kecewa dan geram tahap dewa.
Jadi belajarlah untuk menjadi pemaaf dan menghapus semua ni lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.
5.Ketawa, ketawa dan terus ketawa.
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda dan menjadikan anda girang. Tontonlah video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari “funny side” dalam setiap situasi, agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa LAYAN kecewa sedangkan anda boleh ketawa?
Come on…
6. Ubah Fikiran
Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia.
Rahsianya, carilah sinar mentari disebalik mendungnya awan. Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda, cubalah cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.
Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Ingatlah, anda menjadi apa yang anda mahukan.
Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh tarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk jawapanya. Ini hukum alam yang dinamakan hukum sebab dan akibat. Dalam kata yang lebih advance, itu hukum Law Of Attraction. Hehehe.
7. Hati Mesti ‘Keras’.
Bukan keras sembarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan anda di masa lalu.
Buat baik dibalas baik dan begitulah juga sebaliknya. Cuba ingat balik kejahatan kecil yang anda lakukan pada orang lain, mungkin ada walau anda tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan.
Sebelum masuk tidur, set minda untuk menjadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri.
Selepas bangun tidur, katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk anda. Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru tu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.